Wednesday, December 28, 2011

Nak buat 'durian party' di rumah anda? Hubungi FAMA




KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mempromosikan Pesta Jom Makan Durian dengan menganjurkan "durian party" kepada seluruh rakyat Malaysia dengan menyediakan perkhidmatan ke tempat kediaman.

Pengerusi Fama Datuk Badruddin Amiruldin berkata ini bertujuan mempromosi, menarik minat dan menggalakkan rakyat Malaysia makan buah-buahan tempatan.


"Dengan minimum 50 orang, 'durian party' ini boleh diadakan di rumah.

"Contohnya di hujung minggu satu keluarga nak panggil ahli keluarga dan saudara mara untuk adakan perjumpaan, dan kita (Fama) akan sampai ke rumah mereka, kita akan pasang khemah, hantar pegawai-pegawai kita untuk hidangkan buah-buah ini dengan harga berpatutan," katanya kepada pemberita di majlis Pesta Jom Makan Durian 2011 di perkarangan Muzium Telekom di sini hari ini.

Beliau berkata harga yang dikenakan ialah RM15 bagi dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak bagi Durian D24.


"Usaha ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan malah membantu peladang dan petani yang mempunyai ladang buah-buahan dalam menjana pendapatan mereka, kata Badruddin.

"Program ini adalah untuk memasarkan buah-buahan tempatan dan kita dapat lihat konsep ini bukan sekadar kita makan durian tetapi juga kita bersantai bersama rakan-rakan, keluarga bagi mengeratkan silaturahim.

"Durian party ini boleh diadakan di mana-mana saja. Konsep Fama ini bukan saja untuk mempromosi malah turut menjana pertumbuhan ekonomi bagi peringkat bawah," katanya.

Beliau berkata ini juga merupakan satu daripada cara untuk menarik minat generasi muda hari ini yang kurang minat makan buah durian.

"Kita juga mengadakan promosi "Durian To School" sejak tahun lepas dengan memberi mereka makan buah durian ini pada waktu rehat dan mereka berasa teruja terutama pelajar-pelajar di bandar," katanya.

Pesta Jom Makan Durian 2011 yang diadakan di perkarangan Muzium Telekom buat kali keempat, berakhir Jumaat ini, dibuka dari 10 pagi hingga 7 malam. -- BERNAMA

Note: tergoda i,,teringat kat si putih,,kucing ku yang gila makan durian,,,lps tu mcm mabuk durian,,jalan macam org minum todi,,kami adik beradik pakat gelak..kejam pulak bila teringat,,yang pasti tu la balasannya,sapa suruh dia diam2 pg jilat sampai 3 bijik durian,,setiap kali bwk balik durian,,dia la yg paling laju lari..bkn ikut tuan,,ikut durian tu,,alahai..musim hujan ni makan durian mcm best je

No comments:

Post a Comment